Kuala Lumpur: Pelakon, Anna Jobling dipilih menjadi duta produk jamu yang diasaskan pelakon dan penyanyi Tya Ariffin.
Tya, 28, atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari berkata, pemilihan pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu tepat berdasarkan populariti diraih menerusi drama lakonannya selain mewakili wanita berkerjaya.
"Sekarang ini saya nampak Anna seperti saya sewaktu di Indonesia dulu. Bagi saya dia simbol wanita yang melakukan banyak aktiviti harian apabila bekerja dari pagi hingga ke pagi esoknya dan memerlukan banyak tenaga. Sebab itulah saya pilih dia sekali gus mewakili wanita yang berkerjaya.
"Anna adalah wanita dan figura tepat untuk menjadi duta produk itu kerana dia mencerminkan seorang wanita yang memerlukan 'energy booster' atau tenaga tambahan harian menerusi amalan meminum jamu," katanya.
Dalam masa sama, Tya yang juga isteri kepada usahawan terkenal Asyraf Khalid menyifatkan Anna seorang yang mudah bekerjasama.
"Bagi wanita yang mungkin takut nak minum jamu, Anna sudah buktikan yang ia tidak pahit. Jadi orang akan lebih percaya jamu ini tak pahit seperti yang orang dakwa sebelum ini.
"Anna juga wanita yang bekerja keras dan senang nak bekerjasama. Itu antara sebab saya memilih dia. Diharapkan juga dengan pelantikan Anna yang sekian lama kita tak ada duta, kami harap boleh membantu wanita yang lemah, letih dan lesu supaya mereka boleh mendapatkan tenaga tambahan," katanya.
Sementara itu, Anna, 22, atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman bangga menjadi sebahagian keluarga baru produk berkenaan.
"Selama lima tahun jenama ini sudah membantu wanita mendapatkan tenaga lebih setiap hari dan juga membantu dari segi dalaman. Saya bangga dipilih untuk mewakili jenama ini. Semoga saya dan wanita lain dapat berkongsi manfaat sama," katanya.
Sumber: SUDIRMAN MOHD TAHIR, MYMETRO. 05/08/2022
Comments