KUALA LUMPUR: YouTuber yang juga bakat baharu kelahiran United Kingdom (UK), Aiman Nasir Wynne, 24, sanggup meninggalkan tanah kelahirannya bagi mendalami budaya dan bahasa Melayu.
Aiman yang memiliki darah campuran Britain di sebelah ibu dan Kelantan di sebelah ayah berkata, dia meninggalkan UK bagi menceburi bidang lakonan dan pengacaraan di Malaysia.
"Saya pernah datang ke Malaysia pada usia 16 tahun. Nyata, saya menyukainya.
Kemudiannya, pada tahun seterusnya saya ke Malaysia lagi dan tinggal selama dua bulan.
Apabila sudah menjengah usia 18 tahun, saya terus nekad nak menetap di Malaysia."
"Namun, saya tinggal di UK dahulu disebabkan pandemik COVID-19," katanya kepada BH Online.
Katanya, dia banyak memuat naik video dalam YouTube untuk memberitahu betapa cintakan Malaysia.
"Sekarang, saya dalam proses untuk mengenali diri saya, iaitu dengan menetap dan mempelajari budaya di sini," katanya.
Justeru, kata Aiman, untuknya mencipta nama di persada hiburan tempatan, dia meminta orang ramai tidak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengannya kerana ingin fasih bertutur bahasa Melayu.
"Dahulu, ketika membesar, saya bercakap dalam bahasa Inggeris, kemudian saya belajar pula bahasa Kelantan.
"Sekarang saya mahu belajar bahasa Melayu kerana mahu menyertai dunia hiburan. Saya nak jadi pengacara dan pelakon pada masa akan datang. Jadi, bahasa Melayu itu wajib.
"Jadi, saya mohon peminat mengajar saya bertutur dalam bahasa Melayu kerana saya tak boleh belajar sendiri.
"Saya belum fasih berbahasa Melayu, baru sahaja nak mula. Jadi, ia akan jadi lebih mudah jika orang bercakap Melayu dengan saya.
"Kalau belajar sendiri, ia akan mengambil masa yang sangat lama. Jadi, cara terbaik untuk belajar sesuatu bahasa adalah dengan bercakap menggunakan bahasa yang ingin dipelajari," katanya.
Tegas Aiman, dia ikhlas mahu belajar bahasa dan budaya Melayu, namun menafikan hanya mengambil kesempatan.
Sehubungan itu, Aiman sangat berharap dia diterima baik, tanpa mempersoalkan pegangan agama dan paras rupa.
"Ayah saya Melayu, jadi kiranya saya separuh Melayu. Memang saya guna nama Aiman Wynne di UK, namun mahu dikenali sebagai Aiman Nasir di Malaysia.
"Saya mahu jiwa lebih dekat dengan negara ini. Saya ingin rakyat Malaysia terima saya dengan tangan terbuka.
"Saya tahu saya bukan orang Malaysia, tetapi saya mahu peminat terima dan menyokong setiap perkara yang saya buat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Aiman bakal muncul dalam program travelog jelajah seluruh Malaysia.
"Insya Allah, menerusi perancangan daripada pihak pengurusan, saya akan menjelajah beberapa negeri di Malaysia untuk mengenali lebih dekat budaya Malaysia. Tak sabar rasanya nak teroka Malaysia," katanya yang bernaung di bawah pengurusan Mask Team.
Commentaires