top of page
Search

Syahir Serius Kerjaya Lakonan


BERMULA di pentas peragaan, kini Syahir Shafein memberanikan diri untuk mengintai peluang dalam industri hiburan sebagai pelakon secara sepenuh masa. Bagi pemilik nama sebenar Ahmad Syahir Mohd Shafein ini, dia berharap laluan kerjaya seninya akan membuahkan hasil lumayan selain diberikan tawaran watak yang pelbagai.


“Jika diikutkan kehadiran saya dalam bidang peragaan sudah agak lama tapi entah kenapa saya tidak terbuka hati untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan.

“Biarpun hati pernah terdetik untuk mengintai peluang tapi minat itu seperti ada halangan apabila belum ada rezeki untuk ke arah itu. Bagaimanapun sejak akhir tahun lalu saya nekad untuk memberanikan diri dan fokus dengan kerjaya lakonan.


“Saya ingin buktikan bahawa kehadiran saya dalam lakonan ini bukan main-main dan mahu menjadi pelakon yang berbakat serta memiliki aura tersendiri,” katanya.


Menurut Syahir, sebagai persediaan dia sudah mula aktif menyertai beberapa kelas lakonan bagi memantapkan skil serta penghayatan membawakan sesuatu watak itu.


“Saya tidak mahu digelar pelakon yang asal boleh saja. Saya nak kehadiran saya mendapat maklum balas yang baik daripada semua pihak.


“Disebabkan itu saya menyertai beberapa kelas lakonan dan membaca novel sebagai persediaan untuk terjun dalam industri seni lakonan.


“Malah sejak menyertai kelas lakonan saya mula kenal diri saya dan cuba perbaiki kelemahan yang ada. Contohnya sebelum ini saya agak kurang beremosi dan lambat respons tapi dengan kelas yang saya ikuti banyak ilmu yang saya timba.


“Sebenarnya sudah lama saya menantikan peluang keemasan ini. Apabila diberikan rezeki membintangi beberapa watak sampingan seperti drama bersiri Chandelier yang bakal bersiaran tidak lama lagi, saya anggap ia menjadi titik permulaan untuk khalayak mengenali saya,” katanya.


Syahir yang sebelum ini pernah membintangi filem Ola Bola pada 2016 mengakui tawaran itu datang secara kebetulan apabila pihak produksi mencari pelakon yang pandai bermain bola sepak.


“Sebenarnya selepas berlakon dalam filem Ola Bola, saya baru saja tamat belajar dan mendapat peluang kerja sepenuh masa di sebuah syarikat swasta. Jadi disebabkan itu, saya enggan terjun dalam dunia lakonan dengan cepat.


“Bagaimanapun akhir tahun lalu semangat saya untuk berada dalam industri seni mula membuak-buak. Saya nak jadikan tahun 2020 ini sebagai satu permulaan baru dan melakukan sehabis baik untuk melihat sejauh mana bakat saya boleh diterima,” katanya.

Ditanya mengenai idolanya dalam bidang lakonan, Syahir memberitahu, dia ingin menjadi seperti pelakon tempatan yang kini berjaya di Indonesia, Miller Khan.


“Asalnya dia bermula sebagai model di Indonesia tapi lama kelamaan tawaran lakonan mula datang dan dia menjadikan kerjaya itu sebagai pentas yang serius untuk dirinya.


“Jadi saya turut menanam impian untuk menjadi sehebat Miller satu hari nanti. Mudahan-mudahan ada rezeki untuk saya bertapak dalam industri seni,” katanya.


SUMBER : NAJIY JEFRI,HARIAN METRO. 11 / 2 / 2020




4 views0 comments

Yorumlar


bottom of page