top of page
Search
Writer's pictureireen zairi

Syafiq tak tergugat kehadiran aktor muda


KUALA LUMPUR: Biarpun kehadiran bintang muda silih berganti, namun, ia sesekali tidak menggugat populariti aktor, Syafiq Kyle, 29.

Bagi pelakon yang mencetuskan fenomena menerusi drama Nur itu, tiada formula untuk terus kekal relevan dalam industri seni, namun, percaya bakat dan kehebatan lakonan mampu memanjangkan jangka hayat seseorang hero.

"Biasalah, saya juga pernah bergelar pendatang baharu. Jadi, tiada perkara yang boleh menggugat seseorang pelakon, melainkan kredibiliti dalam lakonan.

"Jujurnya, saya tiada strategi sejak awal bergelar pelakon. Untuk kekal relevan pun tiada.

"Bagi saya, kekal relevan sangat subjektif. Kita hanya mampu kekal dan memanjangkan hayat dalam lakonan menerusi hasil lakonan, manakala populariti sebahagian daripadanya.

"Apa yang lebih penting, fokus kepada kerja sebab populariti tidak akan kekal," katanya kepada BH Online.

Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 29, berkata, dia melihat contoh pelakon berpengalaman seperti Faizal Hussein, Wan Hanafi Su dan Beto Kusyairy.

"Tahun ini, saya bekerjasama dengan pelakon veteran. Saya melihat mereka masih relevan dengan apa yang dilakukan.

"Contohnya, Faizal, Wan Hanafi dan Beto. Orang lama tetapi masih kekal relevan hingga hari ini.

"Dan bila saya bertanya, apa yang mereka lakukan setiap kali bekerja, fokus dan memberikan lakonan terbaik.

"Saya percaya itulah formula membuatkan mereka masih terus berjuang. Nama mereka siapa yang tidak kenal, malah, ramai yang mengagumi kehebatan mereka," katanya yang ditemui pada sidang media drama Cinta Buat Dara bergandingan bersama Riena Diana dan Sean Lee yang disiarkan slot Lestary TV3 sejak 24 Ogos lalu.

Justeru, kata Syafiq, dia percaya bukan strategi jadi ukuran, sebaliknya fokus terhadap apa yang diusahakan.

"Sebab strategi, kita boleh rancang, tetapi paling berkuasa dalam merancang adalah Allah. Jadi, saya kena reda dan terima apa sahaja diperoleh.

"Dalam masa yang sama, saya kena ada semangat dan jiwa untuk mempersembahkan lakonan terbaik.

"Bukan memberi terbaik untuk diri saya sahaja, tetapi buat terbaik untuk mereka yang melihat kita seperti keluarga dan rakan, tak lupa wartawan yang sentiasa melaporkan perkembangan seseorang.

"Saya kena beri aura positif. Saya yakin itu yang membuatkan saya kekal relevan," katanya.

Drama romantik komedi, Cinta Buat Dara arahan Ng Ken Kin dan terbitan OrangeTree Production Sdn Bhd. Ia mengisahkan Hariz (Syafiq) dan Dara (Riena) yang berpura-pura menjadi pasangan kekasih.

Sumber: FATIN FARHANA ARIFFIN, BERITA HARIAN. 10/09/2022


1 view0 comments

Comments


bottom of page