top of page
Search
Writer's pictureireen zairi

Syafiq Kyle fokus hasil kerja terbaik


Kuala Lumpur: Pelakon Syafiq Kyle, 30, percaya dia mampu terus kekal relevan sebagai pelakon dalam tempoh yang lama dengan memberi fokus pada setiap hasil kerja seninya agar sentiasa terbaik untuk orang sekeliling.

Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkata, kemunculan pelakon baharu yang begitu ramai dan bersilih ganti dalam industri hiburan adalah perkara biasa kerana dia pun pernah berada di kedudukan itu.

"Saya okey saja dengan kehadiran ramai pelakon baharu dalam industri kerana boleh bersaing secara sihat. Lagi pula, saya dulu pun pernah bergelar pelakon baharu seperti mereka. Pada saya, buat mereka seperti kawan dan sedia berkongsi ilmu.

"Saya memang tidak ada strategi tertentu untuk terus kekal relevan dalam industri. Sejak dari awal dulu lagi, tak pernah ada strategi pun. Tapi, saya yakin hanya perlu fokus dan buat yang terbaik dalam hasil kerja kita untuk orang di sekeliling," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Syafiq ditemui pada sidang media secara virtual drama Cinta Buat Dara lakonannya bersama Riena Diana dan Sean Lee yang disiarkan slot Lestary TV3 mulai 24 Ogos ini, jam 9 malam dari Rabu hingga Sabtu.

Menurut Syafiq, dia berpandangan sebegitu kerana melihat pada kejayaan ramai pelakon senior yang masih aktif dalam industri serta menjadi pilihan utama produksi seperti Faizal Hussien, Beto Khusyairy dan Wan Hanafi Su.

"Alhamdulillah, tahun ini saya banyak dapat peluang berlakon dengan pelakon-pelakon otai seperti abang Beto, abang Faizal dan abang Wan Hanafi Su. Jadi, saya banyak bertanya dengan mereka dan hasilnya ialah perlu fokus pada kerja-kerja seni yang dibuat.

"Sentiasa bersedia untuk beri yang terbaik pada orang di sekeliling dan sampai sekarang bakat lakonan itu diterima masyarakat. Jadi, pada saya, semestinya fokus pada kerja itu sangat penting dan perlu diutamakan," katanya.

Syafiq berkata, perancangan dalam kerjaya juga ada dilakukannya kerana ia wajar dibuat. Namun, jelasnya, dalam pada kita sibuk merancang itu dan ini, harus ingat juga bahawa sebaik-baik perancang adalah Allah SWT.

Menerusi drama Cinta Buat Dara, Syafiq melakonkan watak Hariz, seorang lelaki yang berminat dalam muzik dan mempunyai ego tinggi. Apapun, kehadiran Dara lakonan Riena adalah cabaran buat Hariz untuk berusaha meraih cinta wanita itu.

Sumber: NORHAYATI NORDIN, MYMETRO. 17/08/2022


1 view0 comments

Comments


bottom of page