top of page
Search

Rezeki Berdamping Pelakon Popular


KUALA LUMPUR: Rezeki pelakon baharu, Danial Dashuki, 26, bukan sekadar mempertaruhkan wajah tampan, malah digandingkan pula dengan bintang hebat dalam drama.


Terlebih dahulu meneroka dunia peragaan, model tinggi lampai kelahiran Kuala Terengganu itu diintai buat kali pertama sebagai pelakon menerusi drama Cetera Hati Diya yang diterajui Fattah Amin dan Azar Azmi.

Biarpun hanya melakonkan tiga babak, kehadiran Danial atau nama sebenarnya, Mohd Hadi Danial Mohd Dashuki

membuka mata ramai apabila ditawarkan membintangi drama Cemburu Seorang Perempuan, Dua Takdir Cinta dan Bukan Kahwin Paksa.


Siapa sangka, dalam usia pembabitan yang masih hijau, nama jejaka kacukan Melayu-Jepun-Arab itu membolosi calon top 20 bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33.


"Saya rasa terlalu kerdil berada di kalangan artis baharu lain dalam kategori ini. Mungkin kenyataan saya berbunyi klise, tetapi saya tak sangka berjaya menembusi ABPBH 33.


"Bagaimanapun, ini satu nikmat manis apabila bakat dan kehadiran saya dihargai. Soal menang atau kalah, saya tidak memikirkannya sangat.


"Apa yang penting, nama saya sudah tercatat dalam sejarah penganjuran anugerah prestij yang ditunggu-tunggu setiap tahun," katanya kepada BH Online.


Danial berkata, drama Cetera Hati Diya membuka pintu rezeki untuk meneroka bidang lakonan dengan lebih serius.


Katanya, dia bersyukur apabila diberikan peluang bergandingan dengan nama besar yang membolehkannya mencedok ilmu daripada mereka.


"Saya tidak menjadikan kerjaya sebagai pelakon sesuatu yang mudah. Jujurnya, saya tidak penat biarpun jadual saya semakin padat.


"Sebaliknya, apabila bekerja sebagai pelakon, saya sentiasa menantikan saat untuk menjalani penggambaran. Walaupun penggambaran habis lewat malam, saya masih bersemangat untuk melakukan kajian terhadap babak yang dilakukan keesokan harinya.


"Saya tak rasa penat, mungkin kerana ia kerja yang saya minat dan membuatkan saya sentiasa gembira. Saya

suka persekitaran bekerja sebagai pelakon," katanya yang menjadikan Datuk Rosyam Nor sebagai idola.


Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia terharu pembabitannya dalam dunia lakonan disokong kelab peminat,

Danialdashuki Lovers.


"Kemunculan seseorang selebriti tanpa kelab kelab peminat menyukarkan usaha pengundian. Saya bersyukur disokong Danialdashuki Lovers biarpun dunia seni masih baru.


"Saya terhutang budi dengan kelab peminat yang gigih membantu pengundian saya dalam ABPBH 33," katanya yang masih meneruskan dunia peragaan.


SUMBER : ZAIDI MOHAMAD,BERITA HARIAN. 25 / 10 / 2020

8 views0 comments

Comments


bottom of page