top of page
Search

Puteri Sarah titis air mata siapkan buku kisah hidupnya


Kuala Lumpur : Puteri Sarah Liyana menitiskan air mata ketika menyiapkan buku mengenai pengalaman dan kisah hidupnya iaitu Puteri Sarah : Terus Melangkah.


Bukan saja Sarah, malah keluarga dan rakan-rakan terdekat turut gagal menahan air mata ketika menghasilkan buku yang mengangkat kekuatan wanita itu.

"Memang banyak kali saya menitiskan air mata termasuk orang-orang yang berada di sekeliling untuk menyiapkan buku ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku Puteri Sarah: Terus Melangkah di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, malam tadi.

Bercerita lanjut mengenai buku itu, Sarah berkata, karya terbitan Terbit Sendiri Empire dan Projek Nomad Sdn Bhd serta tulisan Emi Anvepa ini mendedahkan kisah peribadinya yang belum dikongsikan kepada umum.


"Buku ini mengenai positiviti untuk melangkah ke depan tanpa menoleh ke belakang semula. Memandangkan ramai yang datang kepada saya bertanyakan bagaimana saya dapatkan kekuatan. Ada yang ingin pinjam sifat positif dalam diri saya.


"Oleh itu, saya membuat buku ini supaya orang ramai boleh membaca perjalanan kisah hidup saya. Bukan berniat untuk membuka aib sesiapa," katanya.

Sarah berkata, ramai yang tidak tahu dia ini bagaimana orangnya di belakang tabir.


"Ada yang bertanya saya ini dulu seorang yang bagaimana hidupnya, zaman belajar saya, kehidupan saya dengan keluarga dan sebagainya," katanya.


Turut bersama dalam majlis pelancaran itu ialah Reina Lum selaku editor dari sudut pandangan undang-undang bersama Emi Anvepa. Selain penulis buku ini, Emi juga pengurus dan kawan rapat Sarah.


Hadir sama, ibu bapa Sarah serta mentuanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail.

Ia juga memuatkan singkapan peristiwa, tragedi dan detik jatuh bangun ibu kepada dua anak itu.


Sumber: Zaara Talita, Harian Metro. 31/5/2023

1 view0 comments

Comments


bottom of page