top of page
Search

Nak Jadi Artis, Aiman 'Kecek Kelate' Ingin Fasih Bahasa Melayu


Kuala Lumpur: YouTuber juga bakat baharu dikenali Aiman Nasir Wynne yang berhasrat mencipta nama di persada hiburan tempatan meminta orang ramai tidak berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengannya kerana ingin fasih bertutur Bahasa Melayu.


Berwajah kacukan, Aiman, 24, yang berada di bawah syarikat pengurusan bakat Mask Team ingin serius menceburi bidang lakonan dan pengacaraan.


"Saya belum lagi fasih bahasa Melayu, baru saja nak mula dan sebenarnya akan jadi lebih mudah jika orang bercakap Melayu dengan saya. Kalau belajar sendiri atau macam di sekolah, ia akan ambil masa yang lama, mungkin sampai empat tahun.


"Bagi saya, cara terbaik untuk belajar sesuatu bahasa adalah dengan bercakap menggunakan bahasa ingin dipelajari itu. Dulu, ketika membesar, saya bercakap dalam Inggeris, kemudian saya belajar pula 'kecek Kelate'.


"Dan sekarang saya mahu belajar Bahasa Melayu kerana ingin memeriahkan dunia hiburan. Saya nak jadi pengacara dan pelakon di masa akan datang. Jadi, Bahasa Melayu itu wajib!," katanya.


Aiman memiliki darah campuran Britain, United Kingdom dari sebelah ibu manakala ayahnya pula berasal dari Pasir Puteh, Kelantan.

Biarpun membesar di United Kingdom, namun Aiman menegaskan jati diri Malaysia tetap ada dalam dirinya.


Menurut Aiman, dia juga pernah menjalinkan hubungan cinta dengan wanita Melayu dan menyukai keperibadian dimiliki. Malah, dia turut merancang mahu membina keluarga di Malaysia.


"Saya suka gadis Melayu semestinya, kerana sifat lemah lembut, mengambil berat dan memiliki karakter yang sangat berbeza. Mereka buatkan anda sangat bernilai.

"Segan pula nak bercakap tentang hal ini, tapi dulu saya pernah bercinta dengan wanita Melayu.


"Apapun, saya suka wanita Melayu bertudung. Asalkan wanita itu mempunyai hati yang baik, saya terima dan merancang untuk membina keluarga di sini," katanya.


SUMBER : ZAARA TALITA,HARIAN METRO. 23 / 2 / 2022

6 views0 comments

Comments


bottom of page