PELAKON meningkat naik, enggan mengambil pusing mengenai isu membabitkan seorang pelakon yang didakwa memburukkan namanya di media sosial.
Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman berkata, dia percaya rezeki setiap orang itu sudah ditetapkan dan tidak pernah salah alamat.
"Saya sedar perkara ini daripada peminat. Saya tak kacau sesiapa pun, kenapa nak kacau saya? Buat apa nak dengki dengan orang.
"Rezeki tak salah alamat. Saya percaya rezeki masing-masing. Saya tak ganggu sesiapa, kenapa nak ganggu saya pula? Saya terkejut kerana saya pernah berlakon dengan dia. Hubungan saya dan dia macam biasa saja," katanya.
Terdahulu, seorang pelakon wanita didakwa mempertikaikan penampilan Anna yang dijemput menghadiri sebuah program hiburan.
Isu ini menjadi perbualan peminat dan penyokong Anna di Twitter.
Menurut Anna, dia tidak berminat untuk bertemu dengan pelakon itu kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Katanya, pelakon berkenaan yang memulakan 'api' tanpa sebarang sebab yang munasabah.
"Saya tidak akan rendahkan diri sehingga ke tahap itu. Saya akan terus kerja keras, sentiasa positif dan sibukkan diri dengan rutin saya sendiri. Bagi saya, apabila kamu dengki dengan orang, rezeki kamu akan jadi lagi sikit.
"Kalau dia nak dengki dengan saya, itu masalah dia bukan saya. Dan kalaulah saya berjumpa dengan dia kelak, saya tetap jadi diri sendiri.
"Keadaan saya baik-baik saja, saya berasa bersyukur kerana peminat saya tak pernah berhenti menyokong. Perkara itu yang saya mahu fokuskan," katanya ketika ditemui usai pementasan teater Maduku Terpaling Kalut di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC), 1 Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Mengulas mengenai pengalaman berlakon teater, Anna berkata, dia berasa puas apabila dapat mengembangkan bakat lakonannya dalam dunia teater.
"Ini adalah pengalaman baharu untuk saya. Rasa teruja apabila dapat peluang berlakon teater. Walaupun saya akui agak gementar ketika hari pertama pementasan tapi saya cuba mencabar diri dan melakukan sehabis baik," katanya.
Menurut Anna, berlakon teater dan drama memberi kepuasan yang berbeza kepada dirinya.
"Sebelum ini saya banyak berlakon drama, jadi pembabitan dalam teater memberi pengalaman baharu. Sepanjang sebulan menjalani latihan saya sedar yang lakonan pentas sangat berbeza dengan drama.
"Saya ingin berterima kasih kepada pengarah, Azhar Zainal kerana menjadi guru lakonan saya. Banyak ilmu baru yang saya timba dalam teater ini," katanya
Selain Anna, teater yang dipentaskan pada 29 September hingga 2 Oktober itu dibintangi Azrel Ismail, Puteri Sarah Liyana, Syafeq Naser, Aya Amiruddin dan Curly Joe.
Ditanya mengenai perkembangan terbaharu, Anna memberitahu dia bakal melebarkan sayap di Indonesia.
"Saya bakal ke Jakarta kerana terbabit dengan beberapa projek. Saya akan kongsikan apabila semuanya sudah pasti. Selain itu, tahun depan saya bakal menjalani penggambaran drama Melur Untuk Firdaus untuk musim kedua," katanya.
Sumber: NAJIY JEFRI, METROMY. 06/10/2022
Comments