Kuala Lumpur: Impian pelakon, Anna Jobling, 23, bertemu peminat cilik yang juga penghidap atrofi otot spina (SMA), Sofia Suffian, 8, menjadi kenyataan baru-baru ini, selepas menunggu sejak Oktober tahun lalu.
Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling berkata, pertemuan selama empat jam di rumah keluarga Sofia di Tampin, Negeri Sembilan, itu benar-benar mengetuk hatinya untuk lebih bersyukur serta menghargai semua peminatnya.
"Dapat meluangkan masa secara bersemuka dengan adik Sofia sangat istimewa buat saya. Selama ini, saya hanya dapat menghantar beberapa video ucapan tapi akhirnya dapat berjumpa juga.
"Pengalaman itu memang sesuatu yang sangat menyentuh hati. Waktu itu, saya cuma ingin gembirakan dia dan menahan diri sebaiknya untuk tidak menangis," katanya.
Menurut Anna, dia memang berhajat meluangkan masa beberapa jam dengan Sofia yang menjadi peminat setianya kerana drama Melur Untuk Firdaus. Malah, kemesraan ditunjukkan kanak-kanak itu sangat mencairkan hatinya.
"Menurut ibu bapanya, Sofia memang seorang yang aktif, suka menyanyi dan menari sewaktu masih sihat. Dia juga sangat mesra membuatkan saya tidak sedar melayannya beberapa jam.
"Paling lucu apabila dia mahu menikmati makanan kegemarannya seperti keropok dan biskut raya dengan saya saja. Dia tak nak bagi orang lain yang ada di sana pun menyentuhnya selain saya," katanya.
Anna berkata, pertemuan itu takkan terhenti di sana saja dan dia bercadang untuk melawat Sofia lagi lain kali dan akan mengikuti perkembangan kesihatan kanak-kanak itu.
Sementara itu, bapa Sofia, Suffian Mili, 43, menyifatkan kunjungan Anna sangat bermakna dan berjaya menceriakan hari anaknya yang sangat meminati pelakon itu.
"Sehari sebelumnya, Sofia sudah sangat teruja malah bersungguh siapkan kad ucapan untuk diberikan kepada Anna. Dia sendiri ingin menulis untuk kad itu walaupun tangannya mengalami kesukaran.
"Anak buah saya pun turut membantunya menyiapkan kad itu. Walaupun awalnya malu-malu sewaktu berjumpa Anna, dia cepat mesra dengannya sepanjang pertemuan itu," katanya.
Berkongsi mengenai penyakit Sofia, menurut Suffian anaknya dikesan menghidap SMA ketika berusia lima tahun. Awalnya Sofia dihantar ke jabatan ortopedik sebelum didapati sebenarnya ada masalah saraf.
"Ketika lahir dia nampak normal saja sebelum keadaannya kian merosot. Kami perasaan cara berjalannya ada masalah dan jumpa doktor ortopedik. Tapi, ternyata ia masalah saraf.
"Sampel darahnya kemudian dihantar ke Amerika Syarikat (AS) sebelum dikesan ada SMA. Sejak itu, kami kerap ke hospital untuk tujuan pemeriksaan berkala terhadap kesihatannya," katanya.
Suffian berkata, keadaan Sofia jadi lebih merosot sehingga dimasukkan wad pada hujung September hingga Disember lalu selepas terkena jangkitan kuman sebanyak tiga kali.
"Waktu masuk sekolah darjah satu tahun lalu, dia terkena jangkitan kuman. Kemudian sewaktu dimasukkan wad dan kena intubasi, suaranya juga menjadi semakin lemah berbanding sebelum itu.
"Dia tidak boleh berjalan dan perlu bantuan mesin pernafasan 24 jam. Sofia juga tidak dapat meneruskan persekolahan dan kemungkinan hanya boleh belajar secara virtual saja selepas sini," katanya.
Sumber: Georgie Joseph, Harian Metro. 3/5/2023
Comments