Kuala Lumpur: Demi menjaga privasi keluarga kecilnya, pelakon Anna Jobling, 22, selesa untuk tidak berkongsi di mana lokasi sebenar kediamannya di Melaka.
Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman berkata bukan bermaksud dia enggan terima tetamu atau peminat tapi untuk menghormati keselesaan keluarganya.
"Ruang kediaman keluarga di Melaka agak kecil untuk menerima tetamu yang sangat ramai dalam satu masa. Jadi untuk mengelakkan suasana tidak selesa, saya tidak berkongsi alamat rumah kepada peminat.
"Saya juga mahu menjaga privasi keluarga kecil saya. Bukan bermaksud saya tidak mahu peminat menyerbu rumah untuk beraya kerana tidak mahu melayan peminat," katanya.
Pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu juga memutuskan untuk adakan majlis rumah terbuka Aidilfitri khusus buat peminat di Indonesia nanti.
Ini kerana, Anna sudah mengadakan majlis berbuka puasa bersama peminat di Malaysia sebelum ini.
"Saya bercadang untuk mengadakan Rumah Terbuka di Jakarta kerana saya sudah pun membuat majlis Iftar bersama peminat di Malaysia pada penghujung Ramadan hari itu, iaitu 15 April lalu.
"Jadi, saya ingin berjumpa dengan peminat di Indonesia pula dengan merancang untuk mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri dalam pertengahan bulan Syawal ini.
"Dengan ini, saya juga berkesempatan untuk bermesra bersama semua peminat yang sudah menyokong saya selama ini," katanya.
Sumber: Georgie Joseph, METRO. 25/4/2023
Comments