top of page
Search
Writer's pictureFaiz Nolan

Anna Jobling jadi trending ke luar negara, pertama kali jadi heroin


Anna Jobling jadi trending ke luar negara, pertama kali jadi heroin. Pelakon jelita Anna Jobling terharu dan tidak menyangka apabila namanya menjadi tular sehingga ke luar negara seperti Indonesia, Brunei, Thailand bahkan di Filipina gara-gara drama lakonannya berjudul Melur Untuk Firdaus bersama Meerqeen.


Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman ketika dihubungi Kosmo! berkata, dia sememangnya tidak menyangka drama arahan pengarah Zamri Zakaria tersebut mendapat perhatian daripada penonton sehingga ke luar negara sejak ditayangkan pada 27 Mei lalu.


“Alhamdulillah, saya berasa sangat gembira dan tidak sangka drama Melur Untuk Firdaus ini tular sehingga ke beberapa buah negara lain sehingga membuatkan nama saya menjadi trending di sana.


“Saya sebenarnya tidak sangka langsung sebab sebelum drama ini ditayangkan, saya sangat gementar memandangkan ini drama pertama saya memegang watak sebagai heroin. Saya tertanya-tanya tentang penerimaan penonton,” ujarnya.


Kata bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 itu, sebagai pelakon dia berasa sangat teruja dan puas apabila penat lelahnya selama lima bulan menjalani penggambaran drama tersebut akhirnya membuahkan hasil yang luar biasa.


“Saya lalui pelbagai cabaran termasuk diserang demam denggi. Namun bila drama ini meledak, saya bersyukur dan berasa sangat gembira,” ujarnya.


Disoal tentang komen yang diterima daripada penonton, Anna mengakui banyak menerima pujian penonton yang suka melihat lakonan natural yang disampaikan dalam drama tersebut.


Kata Anna, dia tidak terlalu terikat dengan skrip supaya kelihatan lebih bersahaja ketika berlakon dan meminta pandangan pengarah untuk menjadikan lakonannya lebih kelihatan natural.


“Penonton suka melihat keserasian antara saya dan juga Meerqeen. Mungkin itu juga menjadi salah satu sebab drama Melur Untuk Firdaus mudah diterima sehingga ke luar negara.


“Rata-rata penonton juga mengakui ‘cair’ melihat karakter saya dan juga Meerqeen sehingga membuatkan mereka turut tersipu-sipu malu. Alhamdulillah saya bersyukur dengan penerimaan mereka,” ujar Anna.


Melur Untuk Firdaus sebuah karya adaptasi daripada novel My Rude Wife mula diperkatakan apabila beberapa klip babak kelakar dan romantik antara Firdaus dan Melur dimuatnaik menerusi TikTok dan Twitter.


Rata-rata penonton tempatan turut menumpang rasa bangga apabila drama Melur Untuk Firdaus itu berjaya membuatkan penonton luar ‘cair’ dengan kisah cinta kahwin paksa dalam drama tersebut.


Sumber: MOHAMMAD SHAHEMY AZMI, KOSMO. 07/06/2022
20 views0 comments

Comments


bottom of page