KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Anna Jobling melengkapkan 'hatrik' pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 apabila dinobat Aktres TV Popular, trofi ketiga dimenanginya malam ini.
Terbukti impak drama rantaian 'Melur Untuk Firdaus' yang dibintangi bersama Meerqeen membolehkan Anna meraih undian peminat hingga menang tiga kategori utama pada ABPBH 35.
Anna atau nama sebenar, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 22, menewaskan empat finalis lain iaitu juara bertahan, Siti Saleha dan Puteri Sarah Liyana, Raysha Rizrose serta Sharifah Rose.
"Terima kasih kepada semua pihak yang mempercayai bakat saya dalam bidang lakonan ini. Sememangnya, saya terkejut dengan kemenangan ini, tetapi apa yang saya boleh katakan, ini adalah rezeki.
"Saya tidak tahu boleh menang kategori ini kerana saingan kuat calon lain dan sangat hebat. Terima kasih kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong.
"Saya rasa drama 'Melur Untuk Firdaus' antara naskhah yang berjaya menaikkan nama saya, cuma apa yang boleh saya katakan, ia berbalik kepada rezeki," kata Anna.
Anna yang mencipta nama selepas menyertai program pencarian bakat Dewi Remaja 2018/2019 membuktikan dirinya berada pada kelas tersendiri.
Terdahulu, Anna diumum meraih trofi BBNU Wanita Popular dan kategori sampingan, Ekstra! iaitu Couple TV Popular.
Selain itu, drama 'Melur Untuk Firdaus' lakonan Anna bersama Meerqeen dipilih peminat memenangi kategori Drama Popular.
Sebelum ini, Anna membawa pulang trofi bagi kategori Pelakon Wanita Popular pada Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023.
Karier lakonan Anna bermula melalui filem 'Pasal Kau!' arahan Adrian Teh yang dijayakan bersama Hairul Azreen dan Janna Nick. Ini disusuli filem kedua iaitu 'Penunggang Agama 2'.
Drama pertama lakonan Anna adalah 'Keluarga Baha Don' yang disiarkan platform penstriman, Viu diikuti drama 'One Two Hantu' yang ditayangkan Awesome TV.
Anna turut mendapat perhatian meluas menerusi drama slot Akasia TV3, 'Shah Alam 40000' memegang watak Shafinaz Mckenzie.
Sumber: Affan Rostam, BH Online. 21/7/2023
Comments