Kuala Lumpur: Pelakon jelita, Anna Jobling, 22, terkejut apabila namanya diumumkan sebagai personaliti tempatan dengan carian tertinggi di Google, pada tahun ini.
Anna yang menduduki tangga ketujuh berkata, dia percaya kejayaan drama Melur Untuk Firdaus yang disiarkan di TV3 menjadi faktor utama namanya menjadi perhatian ramai.
"Saya terkejut apabila tersenarai di antara 10 personaliti paling banyak carian di Google Malaysia untuk sepanjang tahun ini.
"Saya yakin carian ini adalah atas sebab-sebab positif mengenai karier. Drama Melur Untuk Firdaus banyak membantu menaikkan nama saya, selain sokongan peminat dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Asia Tenggara.
"Tersenarai dalam 10 individu paling banyak carian di Google membuatkan saya rasa lebih merendah diri kerana tak terfikir akan ada ramai individu yang melakukan carian nama saya," katanya.
Menurut Anna, platform Google memberi peluang kepada masyarakat di seluruh negara untuk mengenali dirinya sekali gus berjanji untuk terus bekerja keras dalam bidang seni.
"Saya rasa semua orang menggunakan carian di Google apabila mahu mendapatkan info, jadi saya berterima kasih kerana ia membuatkan saya mahu terus memberikan yang terbaik dalam karier.
"Pihak pengurusan saya, Mask Team juga merangka banyak perancangan berkaitan karier saya dan Alhamdulillah semuanya boleh dikatakan berjaya. Insha-Allah untuk tahun 2023 ini, saya dalam perancangan melebarkan sayap saya ke negara seberang, Indonesia,"katanya.
Menerusi data yang dikongsikan Google, personaliti tempatan dengan carian tertinggi di Google Malaysia ialah Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kemudian diikuti dengan misteri kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Azman sejak lebih setahun lalu.
Selain Anna dan Zalina, personaliti lain yang turut tersenarai dalam carta 10 teratas ialah pelakon kanak-kanak, Nik Adam Mika yang berada di tangga keenam dan penyanyi Yasin Sulaiman di tangga ke-10.
Sumber: Najiy Jefri, METRO. 12/12/2022
Comments