KUALA LUMPUR: Pelakon Anna Jobling, 22, tidak menolak berhijrah ke Indonesia jika mendapat tawaran meluaskan kerjaya seninya.
Anna atau nama sebenar, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman bersyukur semakin dikenali peminat Malaysia dan Indonesia selepas muncul dalam drama bersiri Melur Untuk Firdaus yang disiarkan TV3.
"Pindah sana untuk bekerja, iya, tetapi untuk menetap selama-lamanya di Indonesia, mungkin tidak.
"Insya-Allah, saya pun tidak tahu rezeki yang akan diberi Tuhan, kalau ada rezeki tak ke mana. Kemungkinan untuk saya menetap dan bekerja di sana ada.
"Pastinya akan kerap pulang ke tanah air kerana keluarga semua di Malaysia. Sebelum ini, saya pulang ke England pun, rasa tidak sabar nak kembali ke tanah air," ujarnya.
Berkongsi mengenai kunjungannya ke Indonesia, baru-baru ini, Anna memberitahu, kehadirannya di republik itu adalah untuk berbincang mengenai beberapa tawaran, selain mengintai peluang melebarkan sayapnya di sana.
"Iya, selain memenuhi jemputan stesen televisyen (TV), kami berbincang untuk beberapa projek akan datang.
"Ibaratnya kami ke sana seperti 'test water' (menilai situasi sebelum mengambil langkah seterusnya)," jelas Anna.
Disoal mengenai sambutan peminat Indonesia, Anna meluahkan rasa teruja.
"Semua orang 'gila' tetapi dalam cara yang sangat baik. Mereka terima kehadiran dan melayan kami dengan mesra.
"Paling istimewa apabila mendapat ratusan hadiah. Antaranya ada yang menanam ratusan pokok di bawah nama saya," katanya pada sidang media Teater Maduku Terpaling Kalut di sebuah hotel di ibu negara, kelmarin.
Teater Maduku Terpaling Kalut akan dipentaskan selama dua hari mulai 29 September depan, disusuli dua hari lagi mulai 1 Oktober depan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya.
Teater ini membariskan pelakon seperti Azrel Ismail, Puteri Sarah, Anna Jobling, Syafiq Naser, Aya Amiruddin dan Curly Jow. - XTRA
Sumber: KHAIRI KUSYAIRI, BERITA HARIAN. 01/09/2022
Comentários